Debat Nizar vs Zambry



25 May 2009 11:41AM PROSES perundangan dalam mencari penyelesaian kemelut politik
Perak, semakin hampir kepada kemuncaknya. Ini kerana proses mahkamah untuk
menentukan tuntutan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa beliau masih Menteri Besar
yang sah hanya tinggal di peringkat Mahkamah Persekutuan jika beliau ingin terus
merayu.

Agendadaily menerima banyak panggilan meminta siri Debat Agendadaily diadakan di
antara Nizar dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.



Sehubungan itu, pihak kami telah menghubungi Dr Zambry mengajukan soalan sama ada
beliau sedia atau tidak untuk berdebat dengan Nizar berhubung dengan kemelut
politik negeri Perak itu.

Menurut Dr Zambry, beliau pada prinsipnya tidak ada halangan dan sedia untuk
berhujah mengenai isu kemelut politik Perak melalui program debat yang hendak
dianjurkan.

“Saya tiada ada halangan. Pada prinsipnya saya setuju,” kata beliau.

Hari Sabtu semasa dalam perjalanan ke Penanti bagi membuat liputan penamaan calon
pilihan raya kecil DUN Penanti, Agendadaily kebetulan bertemu dengan Nizar di
kawasan rehat Bukit Merah, Lebuhraya Utara Selatan.

Kesempatan bertemu itu tidak dilepaskan dengan terus memberitahunya bahawa
Agendadaily bercadang untuk mengajurkan debat berhubung dengan isu politik negeri
Perak dan Dr Zambry pada prinsipnya telah menyatakan persetujuan beliau.

“Baguslah macam tu. Kalau beliau setuju saya pun tidak ada halangan, baik sangat
cadangan itu,” katanya sambil meminta agar debat itu diadakan selepas Muktamar PAS
awal Jun ini kerana beliau sibuk dengan persiapan untuk muktamar parti berkenaan.

Sekiranya debat ini menjadi, ia adalah siri ketiga yang dianjurkan oleh
Agendadaily setelah hampir setahun lalu, debat antara Menteri Penerangan Datuk
Ahmad Shabery Chek ketika itu dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
diadakan.

Kemudiannya siri debat Agendadaily mempertemukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang,
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri sekrang, Lim Guan Eng dalam isu tanah di
Pulau Pinang.

Kedua-dua siri debat yang dianjurkan tersebut telah disiarkan secara langsung oleh
stesen televisyen.

Bagi debat antara Dr Zambry dan Nizar, pihak Agendadaily sedang mengadakan
rundingan dengan stesen televisyen. Sekiranya mendapat kelulusan, debat berkenaan
direncana akan diadakan penghujung bulan Jun 2009.

Bagi Agendadaily, tujuan debat ini dianjurkan ialah bagi membolehkan kedua-dua
pihak memberikan penjelasan berhubung kemelut politik Perak secara objektif dan
tidak diselubungi dengan sentimen serta emosi politik.

Malah format debat yang akan diadakan sama dengan siri debat yang lalu di mana
kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama bagi mengemukakan hujah masing-masing.
Pada akhirnya rakyat dapat membuat kesimpulan tentang isu sebenar yang berlaku.

0 comments:

Post a Comment