Showing posts with label Pemimpin Agung. Show all posts
Showing posts with label Pemimpin Agung. Show all posts

Detik Rasulullah Dijemput Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.

Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu..
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilLah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, " kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.. "Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku" - "Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.. "Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi… Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Karena sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Sumbangan : Man

Karamah Tok Kenali

Salam semua,

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Sumbangan : Din

Muhammad Manusia Paling Berpengaruh.

BUKU yang paling menjadi bacaan di seluruh dunia, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 telah menimbulkan kejutan apabila penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW menduduki tempat paling teratas sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia!
Ramai yang mempersoalkan pemilihan beliau itu lebih-lebih lagi sebagai penulis Barat beliau sewajarnya menobatkan Nabi Isa a.s yang dikatakan mempunyai lebih ramai pengikut yang menganut Kristian.

Alasan Hart, Rasulullah melebihi Nabi Isa apabila didapati Baginda tidak sahaja sebagai pesuruh Allah dan nabi terakhir di muka bumi. Namun yang jelas Baginda mempunyai ketokohan yang sangat tinggi sebagai diplomat, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, pakar undang-undang, ahli pembaharuan dan pemimpin tentera serta ketua keluarga.

"Saya memilih Muhammad bagi mengetuai senarai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain.
"Akan tetapi Baginda merupakan satu-satunya dalam sejarah dunia yang mencapai kejayaan yang paling gemilang yang tidak sahaja dalam agama malah di peringkat sekular (dunia)," kata Hart.

Jika Hart mampu mengenali Rasulullah sebegini dekat, bermakna penulis buku ini begitu mengkaji seluruh sejarah riwayat hidup sehingga kewafatan Baginda.
Lebih-lebih lagi kepada umat Islam itu sendiri yang setiap kali mengucapkan kalimah syahadah mengakui sepenuh hati bahawa Baginda adalah pesuruh Allah, adakah mereka sendiri mengenali Baginda? Belum terlambat apatah lagi dengan adanya sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 2004 yang kemudian di ulang cetak pada 2006 dan 2008.

Buku Sirah Nabawiyyah SAW setebal 733 halaman muka surat ini diterbitkan selepas memenangi Johan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah anjuran Rabitah Al Alam Al Islami.
Buku ini pada asalnya ditulis oleh pensyarah di Universiti Salafiyyah al Sheikh Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri yang diterbitkan oleh Dar al Basyir Tanta, Mesir yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar.

Tugas menterjemah sesungguhnya bukan mudah, tidak ramai yang sanggup mendepani cabaran dengan tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun untuk diterjemah.
Namun ternyata Muhammad Ramzi mampu melaksanakan tugas sukar ini bagi membuktikan demi kecintaan kita terhadap Rasulullah, buku ini akhirnya berjaya dihasilkan.
Buku ini tidak menceritakan mengenai Baginda Rasulullah dari detik kelahirannya di muka bumi ini.

Namun penulis buku menjelaskan kepada pembaca mengenai peri pentingnya kepada mereka untuk mengetahui sejarah Tanah Arab itu sendiri terlebih dahulu.
Penulis perlu mengambil 'masa' sedikit, terutama mengenali bangsa Arab dan kerajaan-kerajaan awal yang memerintah di pelbagai wilayah di Semenanjung Arab.
Ini membawa kepada gambaran mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa tersebut sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Ini semua bagi membolehkan para pembaca menjadi lebih jelas dan memahami siapa sebenarnya bangsa Arab dan peristiwa-peristiwa yang sehingga membawa kepada turunnya agama Islam secara rasmi. Begitupun di peringkat permulaan bagi mengambil apa yang disifatkan sebagai yang wajib tahu mengenai sirah Rasulullah dari buku ini, mungkin perlu dinukilkan terlebih dahulu mengenai Rasulullah secara fizikal.

Walaupun ramai mengetahui gambaran-gambaran wajah, tubuh dan keperibadian Baginda seperti diceritakan dari mulut ke mulut atau bahan bacaan, namun jarang terdapat ia diungkap dari mulut mereka yang pernah menemui atau yang sezaman dengan Rasulullah itu sendiri.
Anak angkat, menantu yang juga merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah dalam satu riwayat menceritakan mengenai Baginda.

Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.
Mukanya bulat dan putih kemerahan. Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun.

Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya.
Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami".

Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya.
"Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam.

"Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad. Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya. Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit".

Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja".

Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal.

Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah. Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak. Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!"

Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda.
Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan.

Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.