Jenayah Ambil Tempat Makruf
Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu
menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol,
rompakan, meragut dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya.
Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan
bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga
menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak
selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.
Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah
lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala
kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di
mahkamah. Parti politik yang 'kehausan kuasa' juga mungkin mengambil kesempatan
membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.
Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah
menarik balik rahmat keamanan-Nya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan
rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi
al-Ma'ruf Dan al-Nahy 'An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah
mungkar (kejahatan). Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu
banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya) Dan orang-orang yang beriman, lelaki
dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain;
mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya,
mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana. (Surah al-Taubah ayat 71). Perkataan mungkar sering disempitkan
tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina,
minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang 'sama spesis' dengan itu
sahaja.
Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang 'dirasakan'
menunaikan tanggungjawab agama. Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah
secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram
yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa
yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini
tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama. Ini mungkin
antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita.
Bercanggah
Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai
kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap
dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam. Jika ada pihak pejabat agama
yang pergi membuat 'operasi mengintip khalwat', dirasakan amalan soleh, walaupun
itu bercanggah dengan ajaran Islam.
Sementara kerja pihak polis atau 'rukun tetangga' mencegah jenayah yang merosakkan
masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial
semata-mata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh
Allah dan rasul-Nya. Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi Islami, atau
ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas
seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak
sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita,
inilah antaranya.
Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain.
Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap
dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya,
kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini.
Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya
negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa.
Kita tidak tegur atau bantah perbuatan 'rempit', akhirnya kita atau orang yang
kita sayangi menjadi mangsa. Ibn 'Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah
al-Anfal ayat 25 (maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan
sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi
akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab
hukumanNya berkata: (maksudnya) Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak
mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan
azab ke atas mereka keseluruhannya. (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa
Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam) Baginda Nabi saw pernah bersabda: Demi Tuhan
yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf
dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu,
kemudian kamu berdoa kepada-Nya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang
melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda
Nabi SAW juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah
dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya
tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).
Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu
menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj
ayat 41: (maksudnya): Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat,
dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Jika sesebuah kerajaan gagal
menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan
menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasul-Nya
kehendaki.
Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah
jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam.
Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam
melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong
menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan
kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik
adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan
gaji polis dan penambahan anggota mereka.
Terhakis
Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun
penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka,
kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan
agenda mana-mana pihak. Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan
kerenah 'orang-orang politik' itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan
masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika
sibuk dengan keselamatan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan
keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.
Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah
disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang
yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau
penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk
terlepas daripada hukuman itu luas.
Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan. Islam apabila menetapkan
'hudud' ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila
dilaksanakan. Dalam erti kata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan
sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran
kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya. Ya, kaedah hukuman dan cara
pelaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun,
kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar
dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti
dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab 'menegakkan yang makruf dan
mencegah yang mungkar' yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan
menguasai makruf dalam negara kita.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
0 comments:
Post a Comment