Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Majalah Humor dirampas, Sindir PM

Sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu pejabat majalah humor terbaru Gedung Kartun hari ini susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir perdana menteri.



Lapan pegawai itu berada sejam di pejabat majalah dwibulanan itu di Brickfields sejak 10.30 pagi - dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Ketua pengarangnya Zunar berkata rampasan itu bermotif politik kerana pihaknya telah mendapat kelulusan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.

Ditemui Malaysiakini di pejabatnya sewaktu serbuan itu, beliau berkata mencetak majalah tersebut tanpa mendapat surat kelulusan untuk mengelakkan karenah birokrasi.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi," katanya ketika ditemui di pejabat penerbit itu hari ini.

“Masalahnya tidak ada surat. Sepatutnya mereka keluarkanlah surat, selesailah masalah,” katanya lagi.

Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin Umno, majalah setebal 68 halaman itu turut memuatkan "nostalgia 98", sejarah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian insiden mata lebam sewaktu dalam tahanan polis (foto kanan).

Edisi untuk awal September, dicetak 10,000 naskhah, berada di pasaran mulai semalam dan dijual dengan harga RM4.

Selain kartun, Gedung Kartun turut memuatkan artikel berbentuk satira politik oleh ramai penulis kreatif yang aktif di atas pentas seni alternatif antaranya Hishamuddin Rais, Pyanhabib dan Rahmat Haron.

Hudud : Jamil Khir ikhlas atau sekadar gimik PRK?


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata di Dewan Rakyat semalam bahawa hudud boleh diperakui dilaksanakan untuk membanteras jenayah ragut di negara ini. Kejadian ragut semakin menjadi-jadi di dalam negara kita kerana dikatakan penjenayah tidak takut kepada tindakan undang-undang yang dikenakan jikalau mereka diberkas dan didapati bersalah.



Saranan Jamil Khir di Parlimen ini telah mendapat reaksi yang negatif dari parti Gerakan.

Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin berkata, kenyataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat, khususnya bukan Islam.

Tambah Lim lagi, walaupun hanya umat Islam tertakluk kepada hukum hudud, tetapi anggota masyarakat lain merasakan ia tidak sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.

Namum begitu, jikalau benar hukum ini hendak dilaksanakan, saya amat-amat menyokongnya.

Tetapi, yang menjadi persoalan sekarang, adakah saranan Jamil Khir ini benar-benar ikhlas? Adakah saranan dia ini telah mendapat kebenaran dari Perdana Menteri sendiri?

Adakah saranan ini hanya sekadar untuk menarik pengundi beragama islam yang menjadi majoriti di dalam Pilihanraya Kecil Dun Manik Urai yang bakal dijalankan pada bulan hapadan itu nanti?

Apa pendapat anda?

Bekas Menteri, Zaid Ibrahim masuk PKR


Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini. Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.




Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.

Reaksi Zaid

Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).

Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.

“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.

Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”

Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:

“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.

“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya.

Debat Nizar vs Zambry



25 May 2009 11:41AM PROSES perundangan dalam mencari penyelesaian kemelut politik
Perak, semakin hampir kepada kemuncaknya. Ini kerana proses mahkamah untuk
menentukan tuntutan Datuk Seri Nizar Jamaluddin bahawa beliau masih Menteri Besar
yang sah hanya tinggal di peringkat Mahkamah Persekutuan jika beliau ingin terus
merayu.

Agendadaily menerima banyak panggilan meminta siri Debat Agendadaily diadakan di
antara Nizar dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.



Sehubungan itu, pihak kami telah menghubungi Dr Zambry mengajukan soalan sama ada
beliau sedia atau tidak untuk berdebat dengan Nizar berhubung dengan kemelut
politik negeri Perak itu.

Menurut Dr Zambry, beliau pada prinsipnya tidak ada halangan dan sedia untuk
berhujah mengenai isu kemelut politik Perak melalui program debat yang hendak
dianjurkan.

“Saya tiada ada halangan. Pada prinsipnya saya setuju,” kata beliau.

Hari Sabtu semasa dalam perjalanan ke Penanti bagi membuat liputan penamaan calon
pilihan raya kecil DUN Penanti, Agendadaily kebetulan bertemu dengan Nizar di
kawasan rehat Bukit Merah, Lebuhraya Utara Selatan.

Kesempatan bertemu itu tidak dilepaskan dengan terus memberitahunya bahawa
Agendadaily bercadang untuk mengajurkan debat berhubung dengan isu politik negeri
Perak dan Dr Zambry pada prinsipnya telah menyatakan persetujuan beliau.

“Baguslah macam tu. Kalau beliau setuju saya pun tidak ada halangan, baik sangat
cadangan itu,” katanya sambil meminta agar debat itu diadakan selepas Muktamar PAS
awal Jun ini kerana beliau sibuk dengan persiapan untuk muktamar parti berkenaan.

Sekiranya debat ini menjadi, ia adalah siri ketiga yang dianjurkan oleh
Agendadaily setelah hampir setahun lalu, debat antara Menteri Penerangan Datuk
Ahmad Shabery Chek ketika itu dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
diadakan.

Kemudiannya siri debat Agendadaily mempertemukan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang,
Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri sekrang, Lim Guan Eng dalam isu tanah di
Pulau Pinang.

Kedua-dua siri debat yang dianjurkan tersebut telah disiarkan secara langsung oleh
stesen televisyen.

Bagi debat antara Dr Zambry dan Nizar, pihak Agendadaily sedang mengadakan
rundingan dengan stesen televisyen. Sekiranya mendapat kelulusan, debat berkenaan
direncana akan diadakan penghujung bulan Jun 2009.

Bagi Agendadaily, tujuan debat ini dianjurkan ialah bagi membolehkan kedua-dua
pihak memberikan penjelasan berhubung kemelut politik Perak secara objektif dan
tidak diselubungi dengan sentimen serta emosi politik.

Malah format debat yang akan diadakan sama dengan siri debat yang lalu di mana
kedua-dua pihak mendapat peluang yang sama bagi mengemukakan hujah masing-masing.
Pada akhirnya rakyat dapat membuat kesimpulan tentang isu sebenar yang berlaku.

Nizar MB Perak yang Sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.
"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?" "Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.
Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.
Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.
Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.
Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.
"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.
"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi
Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.
"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.
"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.
"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.
"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.
Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.
"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.
Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepasmengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.
"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.
Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Terima kasih

Amy Search Sertai PAS?

MENTERI Besar Kelantan,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) bersama Amy Search (kanan) dan Renggo (kiri) pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda Pas Kelantan di Stadium Sultan Muhamad ke IV hari ini.

KOTA BAHARU: Ikon rock negara, Amy Search menafikan telah menyertai parti PAS berikutan sering hadir pada majlis yang dianjurkan parti pembangkang itu termasuk pada Perhimpunan Belia Sempena Jubli Emas Pemuda PAS Kelantan yang diadakan di sini, hari ini.

Desas desus penyanyi rock terkenal itu telah menyertai PAS timbul apabila rakan artisnya Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, mengumumkan secara rasmi menyertai parti itu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada majlis itu.

"Tidak...saya belum menyertai PAS dan kehadiran saya pada majlis politik ini adalah atas jemputan untuk membuat persembahan sama seperti Renggo.

"Apa yang saya buat perlu difikirkan dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi ikutan kepada peminat setia saya.

"Saya memang peminat Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tapi belum terfikir untuk menyertai PAS," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan itu pada beberapa majlis formal dan tidak formal dan bakal mengadakan konsertnya di sini pada Jun depan.
Beliau berkata atas dasar profesional, kehadirannya pada majlis politik seperti itu tidak perlu dipolitikkan dan sebagai artis ia merupakan satu penghargaan apabila diminta membuat persembahan di hadapan Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu Amy dan Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli turut menyampaikan beberapa lagu popular mereka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengakui begitu tersentuh hati apabila mendengar nyanyian Amy terutama mendendangkan lagu-lagu berentak ketuhanan.

"Sampai mengalir air mata saya mendengar Amy menyanyikan lagu-lagu begini dan apabila artis rock menyampaikan lagu-lagu ketuhanan ia telah menolak tanggapan negatif terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata untuk menyampaikan mesej keislaman tidak semestinya hanya para ulama dan tok guru tetapi penyanyi rock juga berupaya menyampaikan mesej yang sama.

"Apa pun kepada penyanyi saya nasihat jangan salah gunakan suara ke jalan yang tidak baik," katanya. BERNAMA

Senarai Lengkap Kabinet 2009

Senarai lengkap barisan anggota kabinet Datuk Seri Najib Razak yang diumumkan selepas jam 3 petang di pejabatnya di Putrajaya.

Perdana menteri - Datuk Seri Najib Razak
Timbalan perdana menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin





Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Tan Sri Dr Koh Tsu Koon - perpaduan & pengurusan prestasi
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz - perundangan dan Parlimen
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop - Unit Perancang Ekonomi
Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom - hal ehwal Islam

Timbalan-timbalan menteri:
Datuk Liew Vui KeongDatuk
Dr Mashitah IbrahimDatuk
SK DevamanyAhmad MaslanT Murugiah

Menteri kewangan I - Datuk Seri Najib Razak
Menteri kewangan II - Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Datuk Chor Chee Heung (timbalan)
Datuk Dr Awang Adek Hussin (timbalan)

Menteri pelajaran
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Datuk Dr Wee Ka Siong (timbalan)
Dr Mohd Puad Zarkashi (timbalan)

Menteri pengangkutan
Datuk Ong Tee Keat

Datuk Abdul Rahim Bakri (timbalan)
Datuk Robert Lau Hoi Chew (timbalan)

Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi
Tan Sri Bernard Dompok
Datuk Hamzah Zainudin (timbalan)

Menteri dalam negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Datuk Wira Abu Seman Yusop (timbalan)
Jelaing Mersat (timbalan)

Menteri penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan
Datuk Seri Dr Rais Yatim

Datuk Joseph Salang Gandum (timbalan)
Senator Heng Seai Kie (timbalan)

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air
Datuk Peter Chin Fah Kui
Noriah Kasnon (timbalan)

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah
Datuk Seri Shafie Apdal
Datuk Hassan Malek (timbalan)
Datuk Joseph Entulu Belaun (timbalan)

Menteri pengajian tinggi
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin
Datuk Dr Hou Kok Chung (timbalan)
Datuk Saifuddin Abdullah (timbalan)

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Datuk Mustapa Mohamed
Datuk Mukhriz Mahathir (timbalan)
Datuk Jacob Dungau Sagan (timbalan)

Menteri sains, teknologi dan inovasi
Datuk Dr Maximus Ongkili
Fadillah Yusof (timbalan)

Menteri sumber asli dan alam sekitar
Datuk Douglas Uggah Embas
Tan Sri Joseph Kurup (timbalan)

Menteri pelancongan
Datuk Ng Yen Yen
Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib (timbalan)

Menteri pertanian dan industri asas industri
Datuk Noh Omar
Datuk Johari Baharum (timbalan)
Datuk Rohani Abdul Karim (timbalan)

Menteri pertahanan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (timbalan)

Menteri kerja raya
Datuk Shaziman Abu Mansor
Datuk Yong Khoon Seng (timbalan)

Menteri kesihatan
Datuk Liow Tiong Lai
Datuk Rosnah Rashid Shirlin (timbalan)

Menteri belia dan sukan
Datuk Ahmad Shabery Cheek
Datuk Razali Ibrahim (timbalan)
Wee Jeck Seng (timbalan)

Menteri sumber manusia
Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Maznah Mazlan (timbalan)

Perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna
Datuk Ismail Sabri Yaakob
Datuk Tan Lian Hoe (timbalan)

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan
Datuk Kong Cho Ha
Datuk Lajim Ukin (timbalan)

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat
Datuk Seri Sharizat Jalil
Datin Paduka Chew Mei Fun (timbalan)

Menteri luar
Datuk Anifah Aman
A Kohilan Pillay (timbalan)
Datuk Lee Chee Leong (timbalan)

Menteri wilayah persekutuan
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Datuk M Saravanan (timbalan)

Sumber : Malaysiakini.com

Penjelasan Prof Agus Mengenai Komennya Yang Banyak Tercicir

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok baru-baru ini adalah satu perkembangan politik yang luar biasa di Malaysia. Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff, adalah antara banyak pihak yang dihubungi oleh media untuk memberikan komennya. Bagaimanapun, komen Agus yang sepenuhnya tidak disiarkan oleh pihak media. Ini menyebabkan Agus dilanda kontroversi.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Agus yang diemailkan kepada blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga kekeliruan sebelum ini difahami oleh semua pihak, di manakah silap dan puncanya.



Assalamualaikum wrth,

Terima kasih kerana telah dua kali berturut-turut dalam dua minggu ini laman blog Datuk menulis nama saya dan mengulas pandangan saya tentang isu politik semasa. Pertamanya, ulasan terhadap ranacangan Hujah di TV9 antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan Tan Sri Isa Samad. Keduanya, ulasan Datuk tentang pandangan yang saya berikan kepada wartawan mengenai kesahihan persidangan DUN Perak di bawah pokok -- yang Datuk namakan 'pokok demokrasi.'
Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut:

(i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan;
(ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan
(iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan) , tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan) . Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.

Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Tapi, betul seperti Datuk kata, ia telah disiarkan dalam bentuk laporan terpilih yang mungkin tidak disengajakan. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.
Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya. Ini semata-mata kerana laporan terpilih yang Datuk maksudkan itu.

Tidak mengapalah soal saya dipuji atau dikeji. Itu hal yang kecil, tapi yang pastinya, saya harap Datuk sendiri, sebagai seorang bekas pemimpin UMNO, perlu memainkan peranan bukan lagi untuk mencurahkan api kepada keresahan rakyat, tapi jadilah sebagai pembimbing yang boleh membawa ketenangan kepada suasana politik yang panas hari ini.

Saya tidak boleh berperanan seperti Datuk kerana saya tidak mempunyai blog sendiri dan belum lagi berhasrat untuk mempunyainya. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Kepada Datuk dan juga untuk peringatan kepada diri saya sendiri, satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.
MOHAMMAD AGUS YUSSOFF